Kepercayaan

I owe this pic

Menyakini kepercayaan itu adalah satu pemberian
siapakah yang lebih mengerti?
walhal kau tidak memohon
dan tidak pula aku merancang
tetapi kita seharusnya faham
ia adalah sesuatu hal
yang diberi dengan kerelaan
tanpa kita sedari

Dimanakah salahnya?
setelah aku merelakan pemberian itu
dan kerana ada waktu persengketaan itu wujud
aku lebih senang berfikir
bahawa dalam beberapa hal
pemahaman kita tidak selalunya selari
dan dalam keadaan begini
aku pun memilih berdiam diri
pada hati yang tidak mempercayai

Hari pun makin menyunsung hidup
barangkali kau tidak memperdulikan jawapan
mungkin juga aku lebih senang begitu
bukan tidak mahu aku mempertahankan kebenaran
tetapi ada ketikanya waktu
kebenaran itu tidak bererti lagi

Dalam waktu-waktu bersendiri
aku lebih banyak berfikir
tentang erti perkawanan kau dan aku
dan bilamana kepercayaan itu telah dirobekkan
ada hati yang telah mati
siapakah itu?

Sebagaimana kejadian membentuk sebuah cerita
ingatlah bahawa kita pernah membentuk sebuah kisah
didalamnya kita jalin benang kemesraan
atas nama persahabatan
manisnya bak bunga di taman
harumnya menyentuh hati
betapa manis ikatan ini

Dan setelah apa yang berlaku
aku pun telah memilih jalan ku sendiri
mungkin aku sudah berputus asa
tetapi tidak marah
kerana manusia tidak dapat lari
dari satu alasan ke satu alasan
yang sengaja atau tidak disengajakan

Ingatlah 
kita pernah memetik bunga di taman
simpanlah kenangan

- Kuala Lumpur -
March 2013